Pages

Thursday, May 21, 2015

Ulasan Kelas Asas Blog & Fanpage (Mula Bisnes)

Nama pelajar : Pn. Leeya Mokhtar
Guru Online : Pn Zaila Mohamad
Sumber : http://norliaamatmohtar.blogspot.com/2015/05/bisnes-bakeri-di-rumah-testimoni-kelas.html

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Sumber google


Assalamualaikum

Diam tak diam sudah tiga dekad lebih usia ini. Pejam celik pejam celik rupa-rupanya sudah tujuh bulan saya menjadi working at home mom (WAHM). Banyak suka, duka, tangis dan tawa yang ditempuhi sepanjang tempoh ini. Menguruskan anak-anak sambil bekerja memang bukan sesuatu yang mudah tetapi ini jalan yang saya pilih demi untuk membesarkan anak-anak tanpa jagaan orang lain.

Menyingkap kenangan apabila saya buat pertama kali menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kepada teman sepejabat, pelbagai respon yang diterima. Rakan-rakan rapat menggalakkan tetapi bagi mereka yang agak berumur mengkritik hebat keputusan yang saya buat. Ada yang kata saya tidak fikir panjang, buat keputusan terburu-buru, mana boleh berniaga dengan anak-anak kecil dan tidak kurang juga yang melaga-lagakan saya. Bagi mereka tiada istilah ibu bekerja dari rumah. Saya pula pada masa itu, hanya senyum dan pergi. Tidak mahu memanjangkan atau bertengkar dengan mereka. Biarkan sahaja. Itu pandangan mereka. 

Mulai dari saat itu saya berusaha untuk memajukan diri sendiri. Saya ada terfikir berkemungkinan ada komuniti bagi WAHM ini tetapi langsung tidak tergerak hati untuk mencari di internet sehinggalah saya terbaca satu artikel yang di tulis oleh salah seorang ahli WAHM atau lebih dikenali sebagai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Tertarik dengan perkongsian artikel tersebut saya terus mencari artikel-artikel berkaitan dengan ABDR dan cara untuk mendaftar sebagai ahli. Di situlah titik mula saya bersama ABDR. Saya kemudian diperkenalkan dengan Cikgu Zaila Mohamad bagi penulisan blog dan fanpage. Di bawah bimbingan guru online saya diajar untuk membina blog yang berpengaruh, menggunakan bahasa yang betul dan menulis dari hati. Saya juga diajar untuk membina fanpage untuk beriklan dan berniaga.

Bagi saya membina sebuah blog adalah mudah, tetapi untuk menjadikan blog tersebut berpengaruh itu yang sukar. Di dalam kelas ini juga saya banyak diberi tips-tips yang mudah dan seterusnya membantu saya menulis dan berkongsi ilmu dengan orang lain. Sering kali kami diingatkan, niat untuk menulis bukan untuk menunjuk-nunjuk atau syok sendiri. Menulis kerana ilmu dan dapat dikongsikan bersama. Banyak sebenarnya yang saya dapat pelajari daripada yuran yang tidak seberapa ini. Sangat berbaloi. Pelajar diwajibkan untuk menulis sebanyak 44 entri di dalam blog sebagai tugasan. Ada rahsia di sebalik 44 entri ini, supaya enjin carian senang mengesan blog kita. Tetapi bukan hanya 44 entri sahaja, lagi banyak kita menulis lagi tinggi kedudukan blog kita di enjin carian. Kan seronok bila orang google sahaja berjela-jela nama blog kita keluar. Itulah fungsi asas 44 entri tersebut.




Bagi saya guru-guru yang mengajar sangat komited, tidak lokek ilmu dan bersedia membantu. Ini kerana apabila belajar dalam talian masa pelajar membuat tugasan adalah sangat tidak menentu. Acap kali guru online memberitahu penjenamaan diri amat penting dalam bisnes yang berpaksikan alam maya ini. Kita mungkin tidak kenal siapa pelanggan dan dari mana mereka datang, jadi jika kita menggunakan penjenamaan diri kita sendiri dengan mudah pelanggan akan megingati kita berdasarkan perkongsian di dalam blog. Jadikan setiap entri yang kita kongsikan sebagai kad bisnes dengan meninggalkan nombor untuk dihubungi. Perkara sebegini jika saya tidak menjadi ahli ABDR memang saya tidak akan ambil pusing. Padahal inilah cara yang sebenar berbisnes dengan menggunakan blog. 

Secara keseluruhannya, saya sangat berterima kasih kepada pengasas ABDR, Pn. Masayu Ahmad kerana telah mengasaskan Akademi Bekerja Dari Rumah. Komuniti ini benar-benar sangat membantu suri-suri yang mahu menjadi WAHM yang mungkin mereka tidak tahu mahu bermula dari mana. Segala perkongsian dapat membantu insan yang baru bertatih sebagai WAHM seperti saya. Saya juga berharap lebih ramai ibu-ibu diluar sana untuk bekerja dari rumah dan mendidik sendiri anak-anak, memandangkan semakin ramai muda-mudi terjebak dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Didikan sepatutnya bermula dari rumah dan kita tidak boleh mengharap kepada guru-guru untuk mengajar anak-anak kita semata. Marilah kita sama-sama membina masa hadapan.

Jika anda berhajat untuk turut serta dan belajar bagaimana untuk membina blog dan fanpage berpengaruh bolehlah bergabung dengan kami. Disamping dapat menjadi ahli ABDR yang akan menyokong diantara satu sama lain bagi WHAM. Di sini kami akan berkongsi cerita dan pengalaman untuk menjadi panduan kepada yang lain. Jika mahu berniaga tetapi tidak tahu dimana mahu bermula, pilihlah untuk bersama kami. Terdapat beberapa pakej kelas asas blog yang boleh dipilih mengikut keselesaan. Boleh terus berhubung dengan saya berkaitan pakej yang ditawarkan.

No comments:

Post a Comment