Tuesday, January 27, 2015

Akademi Bekerja Di Rumah Persediaan Untuk Berhenti Kerja

Protege : Rahimah Omar

Guru Online : Anys Idayu Zakaria  

Teks: Rahimah Binti Omar
Alhamdulillah...Tanpa saya sedari sudah lebih 44 entry yang saya post kan di dalam blog ini. Sepatutnya, awal-awal lagi saya buat ulasan ini yang merupakan sebahagian daripada tugasan saya sebagai ahli baru ABDR. Tetapi disebabkan kesibukan dan menulis pun sekadar mencuri-curi masa yang ada, maka terlupalah saya nak membuat ulasan ini ^_^ Minta maaf ye sifu Anys Idayu.
Saya menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) pada bulan September 2014 dan entry pertama saya adalah pada 23 September 2014. Niat asal menyertai ABDR adalah untuk belajar berniaga secara online sebagai sebahagian daripada persediaan untuk saya berhenti kerja (suatu hari nanti). Untuk melihat keupayaan, komitmen dan disiplin diri sendiri dalam melakukan sesuatu tugasan. Walaupun hajat berhenti kerja itu tak tahu bila akan tercapai, tetapi persediaan untuk ke arah itu pun penting juga kan. 
Mungkin ramai ahli baru ABDR yang berjaya menyiapkan tugasan 44 entry ini dalam masa yang singkat. Tetapi bagi saya yang merupakan seorang suri bekerjaya, ditambah lagi dengan tanggungjawab menjaga 4 orang anak yang masih kecil berseorangan lantaran suami bekerja jauh di perantauan, maka ruang yang ada untuk menulis sekali-sekala itupun sudah cukup baik bagi saya.
Ajaran Puan Sifu, menulislah secara berkala dan santai. Cukuplah walau sebaris ayat sahaja sehari. Tetapi bagi saya agak susah juga untuk konsisten menulis setiap hari. Hampir-hampir kecundang di tengah jalan. Tetapi saya bangkit semula. Saya jadikan kisah yang saya alami setiap hari sebagai bahan penulisan. Nama pun Diari Suri Bekerjaya kan. Sesuailah tu ^_^
Sebenarnya, menulis bukanlah satu bidang baru bagi saya. Kerja saya sekarang ini pun banyak melibatkan kerja-kerja menulis seperti menulis pandangan undang-undang, menyemak perjanjian dan dokumen perundangan serta lain-lain lagi. Tetapi pada saya penulisan di blog dan penulisan untuk kerjaya saya adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun asasnya adalah sama, namun menulis di blog adalah lebih santai dan terpulang kepada penulis itu sendiri bagaimana untuk menjadikan ia menarik. Penulisan bagi kerjaya saya pula lebih bersifat rigid di mana semua yang ditulis hendaklah berasaskan undang-undang, penulisan hendaklah tepat dan bersifat serius. Berbeza bukan.   

Tanpa saya sedari, saya menggunakan ruang untuk menulis ini bukan sekadar untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga sebagai satu medium untuk saya menukar rasa stress saya ke dalam bentuk tulisan yang akhirnya boleh menukar mood saya menjadi gembira semula. Paling tidak pun, mengurangkan stress saya pada ketika itu. Contohnya, kalau saya sedang rasa sedih, saya tulis sesuatu yang boleh menggembirakan saya seperti kisah anak-anak, kisah masakan saya yang tidak seberapa, kisah percutian keluarga dan lain-lain lagi. 
Sedikit demi sedikit, akhirnya selesai juga tugasan 44 entry. Banyak ilmu yang saya pelajari daripada Kelas Online ABDR. Banyak juga ilmu yang saya kongsi dengan rakan-rakan ABDR yang lain. Rasa tidak menyesal membayar yuran penyertaan. Bukan sahaja dapat kawan dan ilmu pengetahuan, dapat juga bonus 4 e-book untuk rujukan. Idea-idea dan tips-tips yang boleh dijadikan rujukan pada bila-bila masa sahaja. Berbaloi-baloi.
Walaupun setelah 4 bulan lebih ini saya tidaklah menjana kewangan sangat dengan blog ini tetapi saya rasa sangat gembira. Bukanlah matlamat utama saya pun untuk menjadi kaya melalui blog ini. Tetapi sekiranya saya hendak memulakan bisnes online, tapaknya sudahpun ada.
Apa pun, terima kasih kepada Pn. Sifu Anys Idayu. Walaupun saya ni bukanlah pelajar contoh Cikgu Anys, namun saya banyak membaca apa jua ajaran dan perkongsian beliau di dalam kelas online. Banyak yang saya boleh gunakan pada masa sekarang dan juga pada masa akan datang.
Kepada surirumah yang sedang mencari-cari bagaimana nak memanfaatkan masa terluang yang ada atau ingin menjana wang dari rumah, bolehlah menyertai ABDR. InsyaAllah, jika kita berusaha untuk menimba ilmu, satu hari nanti ilmu itu akan memberi manfaat yang banyak kepada diri kita.
Wassalam ^_^       
    

No comments:

Post a Comment