Sunday, May 18, 2014

Versi Cinta Nin - Buah Tangan Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi NiN

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Tanggal 16 Mei 2014 merupakan tarikh yang bermakna buat semua warga guru. Sementelahan pula diwarnai dengan jatuhnya pada penghulu segala hari, Sayiidul Ayyam, Jumaat nan mulia. Tidak terkecuali buat seorang guru daripada kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif yang menerima berita bahawa proposal novelet tiga orang protege kelas tersebut sudah dipersetujui untuk diterbitkan.

Protege tersebut;
Nur Dila Mahauddin, blog : D Chief Tomyam Seafood,
Nurhidah Halun, blog : Misi Tulis Baca
dan Intan Haji Daud blog : Sekoci dan Tinta Intan Yumerza Daud

memasuki kelas tersebut pada waktu, tarikh dan masa yang berbeza. Mereka bertemu, mesra dan akrab di dalam kelas tersebut sebelum mencetuskan idea untuk menghasilkan novelet 3 dalam 1 sebagai signifikan keberhasilan mereka menyertai kelas tersebut.

Sebelum itu, Intan Haji Daud mendahului rakan-rakan dengan tersiarnya cerpen beliau yang pertama, Cik Sitam Blogger di majalah Mingguan Wanita bilangan 1591. Terima kasih pada pasukan editorial MW kerana sudi menyiarkan kisah suri rumah tangga kelam kabut mahu menjadi blogger yang akhirnya terpaksa membahagi dua dirinya. Sinonim dengan peserta ABDR, pada awal penglibatan mereka sebagai WAHM.

Manuskrip novelet tersebut sedang dalam bikinan untuk disiapkan dengan pantauan rapi serta suntingan guru kelas tersebut itu sendiri. Nyata, dunia penulisan bukan sebuah kisah dongeng buat mereka bertiga ini. Nyata, kemahuan perlu dilampiaskan dengan kesungguhan dan berguru serta semangat berpasukan yang jitu yang ditunjukkan oleh mereka.

Ternyata Akademi Bekerja Dari Rumah, sebenarnya membuka lembaran baru buat mereka, sejajar dengan minat dan kemahiran yang mereka ada. Hasrat mereka bukan kepalang tinggi, sedang dalam usaha untuk menerbit sendiri dengan perancangan dan strategi.

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif mungkin hanya sebuah kelas dengan dua orang  tutor yang berpengalaman menulis dan sudah bergelumang dengan dunia penulisan sekian lama.  Ia juga membantu anda dengan e-book seperti 101 Tips Penulisan Novel tulisan Cikgu Mazlia Murat. Namun lebih daripada itu, ia menawarkan pengalaman persahabatan, kejituan semangat berpasukan dan ilmu di dalam caranya sendiri.

Grup NiN  boleh 'difollow' di sini ; https://www.facebook.com/groups/742095219157772/

No comments:

Post a Comment