Pages

Monday, December 9, 2013

Ulasan Protege Kelas Online Asas Blog dan Penulisan: Hasnita Sawal

Guru Online: Netty Ah Hiyer
Protege: Hasnita Sawal


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Inilah blog protege saya, Hasnita Sawal. Sarat dengan informasi keibubapaan yang mengandungi kisah inspirasi.


Tik tok tik tok...cepatnya masa berlalu. Sedar-sedar usia kita semakin bertambah setiap hari. Pernah tak terfikir apa nilai tambah yang kita dah buat setiap hari? Yang pasti kita tak pernah lupa update status di facebook atau berkongsi gambar aksi anak-anak, makanan yang kita makan setiap hari atau lokasi percutian kita. Betul tak?

Kata ustaz saya, kalau status yang kita tulis tu memberi manfaat dan mengajak orang berbuat kebaikan, maka In shaa Allah akan tercatatlah pahala untuk kita. Tapi kalau status yang ditulis itu memaki hamun, mengutuk, mencerca orang lain, hmmmm...bayangkan apa yang akan kita dapat selagi mana status itu dibaca dan dilihat oleh orang lain. 

Menyedari hal tersebut, saya mula terfikir untuk mula berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu yang tidak seberapa ini dengan sesiapa sahaja yang sudi membaca. Bukan niat hendak menunjuk tetapi untuk mencari redha Allah SWT selain untuk menambah saham akhirat agar semua yang membaca turut mendapat manfaatnya.

Menulis dan berkongsi apa sahaja yang kita suka tanpa perlu memikirkan formaliti atau terikat dengan gaya bahasa tertentu tentu sahaja dapat dilakukan secara percuma di sebuah blog. Tak perlu keluarkan duit, cukup sekadar mendaftar di blogspot, kita sudah boleh punya catatan online yang boleh dibaca oleh sesiapa sahaja.

Saya mula menulis blog sejak tahun 2010 (blog lama yang saya ubah namanya kini). Tetapi sekejap ada sekejap tiada. Tiada bahan atau hala tuju. Saya sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran. Minat menulis di blog kembali bercambah tatkala rakan sepejabat yang juga guru Kelas Asas Blog & Penulisan saya, netty-ahhiyer.blogspot.com 'meracuni' fikiran saya untuk kembali menulis.

Akhirnya dengan izin Allah saya kembali merajinkan diri menulis entri. Kemudian Allah buka pula hati saya untuk mendaftar diri dalam Kelas Asas Blog & Penulisan yang diasaskan oleh sahabat lama Masayu Ahmad. Saya tidak pernah menganggap diri sudah hebat dengan mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam bidang penulisan.

Saya tetap menganggap saya perlu belajar setiap hari. Setiap bidang baru yang kita ceburi memerlukan seorang guru untuk membimbingnya. Tanpa guru  kita tidak tahu hala tuju kita. Ada orang kata, apa perlunya saya join grup kelas penulisan ini. Jawab saya mudah sahaja, saya memang suka belajar benda baru. Semuanya bergantung kepada kita sendiri. Apakah misi kita? Apakah fokus kita? Apakah impian kita di masa depan?

Saya idamkan kerjaya WAHM (Working At Home Mom) seperti mana yang telah dicapai oleh ramai wanita yang menyertai Akademi Bekerja Di Rumah. Oleh kerana saya sedar diri saya bukan seperti orang lain yang boleh bergerak sendiri atau mencapai impiannya secara sendirian, maka saya sertai grup ini untuk mempelajari bagaimana mencapai impian tersebut.

Awalnya saya hairan bagaimana kelas penulisan online ini berlangsung? Saya memberitahu Netty dan Ayu yang saya hanya bersedia untuk memulakan kelas selepas saya membereskan tugas-tugas rumah tangga saya. Saya tidak mahu kelas ini mengganggu tanggunjawab utama saya sebagai isteri dan ibu.

Netty tergelak dan memberitahu yang saya tak perlu risau hal tersebut. Ini kerana kelas ini berlangsung secara maya dalam masa yang fleksibel pada bila-bila masa tanpa perlu mengganggu sesiapa pun, asalkan sahaja ada kemudahan internet, murid boleh bertanya apa sahaja kepada guru bila-bila masa.

Tugasan pertama, menjawab soalan analisa nampak mudah tetapi rupanya ia asas utama paling penting dalam penyediaan diri menjayakan tugasan seterusnya. Alhamdulillah, menerusi analisa soalan tersebut, guru dapat memberi panduan di mana kekuatan diri kita. Secara tidak langsung ia memudahkan kita membuat entri seterusnya mengikut garis panduan yang disediakan. Setiap orang mempunyai keistimewaan masing-masing. Bukan semua orang sama kemampuan dan kemahirannya. Begitu juga kala menulis, biarpun saya dan rakan-rakan penulis yang lain berkerjaya penulis tetapi kekuatan gaya penulisan kami adalah berbeza. 

Mungkin sebelum ini saya menulis perkara yang merapu dan kosong sahaja di blog. Tetapi selepas berguru, saya lebih rasa bertanggungjawab untuk menjadikan cerita biasa saya adalah luar biasa. Semangat tersebut makin bercambah selepas ada rakan yang mengucapkan terima kasih di atas cerita yang saya kongsi. Katanya saya memberi inspirasi kepada dirinya. Saya rasa cerita saya biasa-biasa sahaja, tetapi rupanya  ia sesuatu yang menarik bagi orang lain. 

Saya percaya setiap daripada kita punya cerita luar biasa yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain. Daripada kita menulis di facebook sahaja, apa kata kita kongsikan di blog kerana lagi ramai yang boleh membacanya dan In shaa Allah boleh memberi nilai tambah kepada diri kita sendiri.

Tugasan kedua adalah menulis 44 entri. Mengapa 44 entri? Saya pun pelik pada awalnya. Tetapi lama-kelamaan saya akui ia penting sebagai latihan awal supaya kita tidak culas menulis entri. Latihan sebegini amat penting untuk membolehkan kita konsisten menulis berdasarkan label dalam blog. Secara tidak langsung, bila ada entri baru pasti ada pembaca baru. Akhirnya jumlah trafik di blog kita juga bertambah dan saya alami sendiri perkara tersebut.

Alhamdulillah, dengan izinNya saya dapat juga menyiapkan 44 entri dalam masa tiga bulan setelah mengharung pelbagai cabaran dan halangan. Saya sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat menulis secara bebas, melahirkan apa jua pendapat dan pandangan atau berkongsi kemahiran dan kebolehan yang dimiliki (bukankah ilmu yang bermanfaat itu seharusnya disebar dan dikongsikan) turut menyertai komuniti Akademi Bekerja Di Rumah ini. 

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menjana RM melalui penulisan di blog. Kata orang kalau nak belajar lebih baik melalui guru, barulah ilmu itu ada hala tujunya. Tak salah belajar walaupun anda sudah tahu kerana ilmu yang dimiliki lebih baik disebar-sebarkan dan dikongsikan. Sesiapa sahaja boleh menyertai komuniti bisnes yang menarik ini. Jangan risau, ia sesuai untuk sesiapa sahaja asalkan ada kemahuan dan keinginan. 

PS: Hasnita Sawal kini bergelar Pembantu Guru Online. Anda juga boleh berjaya seperti dirinya. Jika mahu tahu lebih lanjut berkaitan kelas yang kami tawarkan, boleh hubungi saya, Netty Ah Hiyer mahupun Hasnita Sawal.


No comments:

Post a Comment