Pages

Monday, October 21, 2013

Ulasan Kelas Asas Blog - Kizeewatty Zainal

Protege : Kizeewatty ZainalGuru Online : Khairunnisa Hamzahara

Kelas Asas Blog Dan Penulisan: Apa yang saya dapat dengan berblogging?


Teks: Kizeewatty Zainal



Assalamualaikum w.b.t

Setiap makhluk yang Allah jadikan ada peranan dan fungsinya di muka 
bumi dan alam semesta ini, tidak ada yang sia-sia. Ini salah satu janji 
Allah yang saya pegang selama mana saya hidup di bumi-Nya. Saya sedar 
ramai antara kita terutamanya kaum hawa yang merasakan hidup mereka 
kosong tidak ada hala tujuan. Pergi kerja balik kerja dan menjalankan 
rutin harian yang saban hari berulang sama dan akhirnya kita terasa 
jemu. Jangan rasa rendah diri dan fikir yang bukan-bukan kerana kewujudan
kita ini ada sebab dan maknanya yang tersendiri yang belum kita kupas lagi.

Apa sebab Allah jadikan kita? Secara peribadinya, saya rasa amat 
bersyukur kerana dilahirkan di bumi Islam dan dalam keluarga yang bahagia. 
Sentiasa ingat yang kita dilahirkan untuk menjadi anak, adik, kakak, kawan,
isteri dan ibu kepada orang tersayang di sekeliling kita. Kita adalah kaum 
hawa yang kuat, tabah dan sanggup meredah apa jua cabaran rintangan 
demi orang yang kita sayang. Anda di luar sana mungkin ada yang terasa 
tidak gembira dengan kehidupan yang dilalui. Sedarkah kita yang kita selalu 
memberi yang terbaik untuk orang lain tapi pernahkah kita terfikir mencari 
yang terbaik untuk diri kita? Apa kata kita mula memberi yang terbaik 
pada diri kita barulah kita akan rasa bermakna hidup di dunia dan Insya Allah
 di akhirat juga. Hargai setiap pemberian Allah kepada diri kita ini.







Setiap apa yang kita lakukan walaupun sekecil zarah sekalipun hendaklah 
niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah mengharapkan balasan 
yang terbaik daripada Allah s.w.t, dan jangan kita buat sesuatu perkara itu 
hanya kerana inginkan pujian dan balasan daripada manusia. Kerana 
manusia adalah manusia tidak pernah sempurna dan terlalu banyak 
kelemahannya. Kelemahan inilah yang sering membuatkan kita kecewa 
dan putus asa serta berasa rendah diri. Seterusnya kita rasa hidup tidak 
bermakna dan aura negatif mula menyelubungi kehidupan kita. 

‘Always look on the bright side of life’. Apa yang kita fikir, apa yang kita 
rasa, apa yang kita cakap dan buat, itulah doa buat kita dan Allah akan 
makbulkan, Insya Allah. Jika kita rasa kita tidak pandai, tidak 
berbakat, tidak bersemangat dan segala-galanya ‘tidak’ maka Allah 
akan beri secara percuma dan selamanya kita hanyut dalam keadaan merendah 
diri hingga takut untuk mencuba sesuatu. 

Antara sedar dan tidak sedar, sebenarnya inilah diri saya yang dulu. 
Seorang yang berfikiran sempit dan negatif, tidak berani untuk ke depan dan
masih hidup dalam kepompong walhal ramai wanita terutamanya suri rumah 
di luar sana yang telah berjaya merealisaikan impian mereka menjadi seekor 
rama-rama yang mengembangkan sayapnya yang cantik. Bebas terbang mengikut 
rentak sendiri tanpa risaukan segala kekangan jika dibandingkan ketika berada 
di dalam kepompong. Saya kuatkan hati untuk memulakan perkongsian hidup, 
ilmu dan pengalaman saya dengan berjinak dalam dunia blog. Sampai bila mahu 
berdalih dan tidak bergerak. Jika orang lain boleh lakukan sehingga berjaya, 
saya juga pasti boleh lakukan seperti mereka. 

Bagaimana mula menyertai kelas asas blog ini? 

Saya dipertemukan dengan seorang mentor yang sentiasa berada di sisi saya, 
tangan saya tidak pernah dilepaskan dan sentiasa dipimpin. Beliau ialah 
Puan Khairunnisa Hamzah, seorang WAHM yang sanggup melepaskan kerjaya 
yang hebat demi keluarga dan mempunyai niat suci untuk membantu lebih 
ramai wanita berkerjaya dari rumah, sekaligus mereka mampu mendidik 
anak-anak dan menjaga keluarga tercinta. Beliau seorang yang rajin memberi 
kata-kata semangat di kala diri saya kekontangan idea untuk menulis. 

Baginya kita kena sentiasa menulis dan menulis. Luahkan apa sahaja yang 
boleh memberi manfaat kepada pembaca. Seorang yang menjadi sumber  
inspirasi saya,sentiasa berfikiran positif dan setiap jalan buntu ada 
penyelesaiannya. Blog beliau di khairunnisahamzahara.blogspot.com 
banyak berkisar tentang pengalaman dan ilmu yang sungguh berguna untuk 
para pembaca dan tentunya menjadi contoh bagi saya yang baru menapak 
di laman blog ini.

Apa yang saya dapat dengan berblogging?

Inilah soalan saya semasa terdetik di hati untuk memasarkan perniagaan 
vitamin dan makanan tambahan di internet. Bagi saya blog memerlukan 
masa yang lebih untuk mempromosikan sesuatu barang berbanding 
Facebook. Tapi sebenarnya landasan dan trafik pembaca di dunia 
blog amat luas berbanding Facebook, Di mana kita akan di ‘link’ ke blog-blog
yang lain dan jumlah pembaca kita akan bertambah, sekaligus menaikkan 
peluang perniagaan kita. 

Saya mulakan penulisan saya dalam keadaan santai kerana kelas ini tidak 
mempunyai had masa yang ditetapkan. Terpulang pada masa terluang kita 
untuk membina blog masing-masing  Arahan yang jelas diberikan mentor 
kami setiap kali tugasan yang diberikan. Bagi yang kurang faham dan arif 
engan dunia alam maya ini kita digalakkan bertanya sehingga kita 
betul-betul paham. Jangan malu dan segan kerana tiap soalan kita 
dapat membantu rakan-rakan yang lain.

Pengalaman saya selaku orang yang buta IT, pada mulanya saya masih 
tidak memahami sebahagian tugasan dan cara melayari dunia blog 
walaupun telah diterangkan satu persatu. Saya ambil inisiatif lain, 
hendak seribu daya kan. Saya mula belajar dengan kawan di pejabat 
selepas waktu bekerja. Akhirnya dengan mudah saya dapat memahami 
konsep blog ini. Blog saya juga selalu dipantau oleh mentor dan banyak 
nasihat-nasihat berguna diberikan untuk menjadikan blog ini lebih tampak 
professional di mata pembaca.

Saya diajar dari seseorang yang tidak tahu apa-apa hingga kepada terbinanya 
satu blog yang boleh saya bawa lebih jauh lagi. Saya juga diajar cara-cara 
membina penjenamaan nama kita di ruang IT, membina url blog, membina 
kategori berdasarkan pengalaman dan apa yang ingin dikongsikan.

Paling penting niat kita berblogging ini kerana Allah s.w.t, untuk mambantu 
lebih ramai pembaca mencapai impian menjana pendapatan dengan bekerja 
dari rumah. Melalui kelas blog ini, kawan-kawan baru saya semakin ramai 
dan setiap daripada mereka mempunyai hobi, bakat dan pengalaman berbeza. 
Mereka sentiasa memberi impak positif dalam hidup saya dan bermulalah 
perkongsian ilmu antara kami. Mereka merupakan guru dan kawan yang banyak
membantu dan mendorong saya. 

Sekaligus menjadi tanggungjawab kita pula untuk membantu dan memberi 
yang terbaik pada orang lain pula. Dan begitulah kitaran ilmu dan kebaikan 
yang akan disampaikan ke kepada masyarakat dan anak cucu kita nanti. 
Insya Allah

Bagaimana mencari idea untuk penulisan blog kita?

Setiap diri kita ini unik, walaupun hampir sama tapi secara halusnya kita ini 
amat berbeza antara satu sama lain. Ilmu, pengalaman dan perwatakan 
kita yang menentukan hala tuju blog berkualiti kita ini nanti. 



Jangan takut untuk memulakan sesuatu. Saya mulakan dunia blog saya ini 
dengan hati yang berdebar dan risau. Sentiasa mencari ayat yang sesuai 
untuk diluahkan tapi Insya Allah lama-kelamaan saya banyak mendapat 
idea dari perkongsian cerita dengan rakan-rakan dan juga dari 
sikap ingin tahu, pembacaan buku dan juga maklumat di internet. 



Secara tidak langsung saya rasakan dunia ini luas dan banyak perkara yang 
boleh saya belajar dan beri, dari perkara yang mudah hingga kepada 
perkara yang mustahil. Terlalu banyak pengalaman dan ilmu yang amat bermanfaat.

Sebagai peringatan yang manis kepada kaum hawa di luar sana, bila kita 
sudah memulakan sesuatu, jangan mudah mengalah, sentiasa ‘switch’ 
minda dan diri kita. Buat sesuatu perkara itu hingga sehabis baik, jangan 
sekerat jalan kerana anda adalah apa yang anda fikirkan. Jika anda fikir anda 
boleh, anda mampu mengharungi Lautan Pasifik dan mendaki Gunung Everest. 
Jika anda rasa anda tidak boleh, perjalanan yang setapak pun tidak mudah 
untuk anda lakukan. Sekian perkongsian pengalaman berblogging daripada 
saya. Saya doakan kehidupan anda hari ini lebih bermakna dan baik daripada 
semalam. 



Perolehlah kebaikan baik di dunia dan akhirat dengan mula berblogging 
dan berkongsi segala kebaikan dengan mereka di luar sana. Inilah salah satu 
saham akhirat kita nanti. Insya Allah segala apa yang anda kongsikan amat 
bermakna bagi orang lain. Anda pasti terkejut dengan apa yang boleh 
anda capai bila sudah mampu mengembangkan sayap dan terbang tinggi di langit.

No comments:

Post a Comment