Pages

Thursday, November 27, 2014

Maraton Cinta Sudah Dimulakan

Assalamualaikum.

Dipersembahkan. Daripada Akademi Bekerja di Rumah.
Naskah terbitan alumni ABDR, di bawah payung syarikat terbitannya sendiri Tuah Idea Sakti Solution (TISS) Nurhidah Halun membawakan novelet Maraton Cinta.

Karya sulung TISS ini diperkuat oleh pasukan kreatif (editorial) yang terdiri daripada alumni dan guru online ABDR iaitu Nur Dila dan Monalita Mansor beserta seorang sahabat daripada sebuah grup menulis yang popular di fb iaitu Grup Mari Menulis. 

Penulis yang terlibat ialah penerbit sendiri (Arnieza Bella dan Puss Vakker), Nur Dila, Noraz Ikha.

Maraton Cinta berkisar tentang kisah mencari cinta dengan cara tersendiri oleh empat watak dalam empat novelet yang berjudul Marathon Cinta 360, Engkau Curi Hati Aku, Hati Kama dan Dee Angaurian. 

Diharapkan kelahiran novelet ini menyuntik semangat teman-teman seakademik dan mendapat sokongan anda di luar sana. 

Tuesday, November 11, 2014

Selesai 44 entri

Teks: Hazwani Abd Hamid

Bismillah.. Assalammualaikum..

Sedar tidak sedar perjalanan kelas saya sudah sampai ke penghujungnya. 44 latihan penulisan yang saya mulakan Mac lepas kini sampai ke garisan penamat. Almaklumlah, saya orang akaun, jika diberi permasalahan matematik cepat saya menghabiskannya tetapi bab penulisan ini, dari sekolah rendah saya dah angkat bendera putih. Penulisan adalah perkara baru buat saya, disebabkan tekad saya berusaha untuk "graduate".

MATLAMAT AWAL
Sebenarnya dari dahulu saya bercita-cita menjadi seorang pendidik. Tahun demi tahun, walaupun saya tidak ke arah itu tetapi jiwa mendidik tetap ada. Bagi saya, menjadi pendidik bukan semata-mata menjadi seorang guru tetapi ianya lebih dari itu. Apa yang penting, ilmu didada. Dengan ilmu yang ada, kita boleh berkongsi dengan ramai orang. Bila kita berkongsi ilmu, ilmu itu makin bertambah tidak akan berkurang walau sedikitpun. Ajaib bukan?

Ulangtahun graduasi saya yang ke-sepuluh tahun ini, menyaksikan beberapa perubahan dalam kehidupan saya. Bisnes saya semakin stabil dan bermula tahun lepas saya ada mendapat permintaan untuk mengajar akaun. Saya sambut permintaan itu dengan besar hati kerana itu bermakna, saya telah mencapai cita-cita saya iaitu menjadi seorang pendidik. Malah pelajar-pelajar yang rata-ratanya usahawan ada menggelarkan saya cikgu dan tidak kurang juga yang memberi ucapan ketika Hari Guru tempoh hari. Berbunga rasa di hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Bertitik tolak dari peristiwa itu, saya sering mendengar rintihan mereka yang mahu belajar akaun tetapi mempunyai masalah untuk hadir ke kelas. Pada mulanya saya bersikap dingin kerana bagi saya untuk mencari ilmu, seseorang itu perlu mencari "guru" bukannya guru yang mencari anak murid. Sejenak berfikir, saya fahami mereka, kasihan pada mereka. Jika saya tidak membuka ruang kepada mereka, siapa lagi yang patut mereka tuju.

Dari situlah saya berhasrat untuk menulis ebook, supaya saya boleh tukarkan situasi di kelas ke dalam ebook dan supaya mereka boleh mendapat manfaat seperti mereka yang hadir ke kelas saya. Alhamdulillah, saya bertemu dengan kak Masayu Ahmad dari Team Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) dan memperkenalkan saya dengan Kelas Asas Penulisan ini. Benar, saya memang perlu melatih penulisan saya supaya ianya benar-benar sampai kepada pembaca.

SESI PEMBELAJARAN
Skil penulisan yang lemah membuatkan saya terkulat-kulat pada awalnya. Setiap kali mahu memulakan penulisan, lama saya merenung laptop tetapi tiada idea yang keluar. Saya kembali kepada nota kak Masayu Ahmad, baca perlahan-lahan dan saya tarik nafas dalam-dalam. Saya mencari mood penulisan dengan cuba untuk melihat dunia sekeliling. Lama saya ambil masa untuk bersedia kembali untuk menulis dengan lancar. Cemburu dengan penulisan Rakan ABDR yang lain tidak boleh disangkal lagi. Penulisan mereka lancar seperti keluar sebutir-butir dari mulut mereka sendiri. Kagum saya..

Saya rasa mungkin saya adalah dikalangan pelajar ABDR yang paling lewat "graduate". Mengapa saya katakan demikian? Sebab saya mulakan kelas pada Mac 2014 dan November 2014 baru saya dapat menyiapkan tugasan 44 entri. Maknanya sebulan saya hanya boleh siapkan 5 ke 6 entri sebulan. Tragis kan? Pengalaman yang amat bernilai.

MANFAAT KELAS
Saya mula menjadikan penulisan ini sebagai rutin. Apa sahaja yang saya terfikir tika itu, terus saja saya buka ipad untuk menulis. Ilham itu hadiah dari Allah, dengan niat untuk saya sedarkan masyarakat bisnes untuk jaga bisnes mereka baik-baik. Mungkin kerana niat itu, saya mudah untuk memberi penulisan yang panjang lebar. Apabila menulis, saya tak sedar pun penulisan saya telah sampai ke penghujung kerana kini saya sudah mula rasa seronok menulis! ^_^

Apabila banyak perkara yang saya tulis berkenaan akaun, ianya mudah bagi saya untuk kongsi bersama rakan-rakan Facebook yang lain. Sekurang-kurangnya mereka tidak bosan kerana saya tidak menulis berjela-jela di Facebook. Jika mereka mahukan maklumat, mereka akan terus ke blog saya. Insya-Allah.

Kelas Asas Penulisan ini melatih diri untuk menulis dengan lebih baik. Orang kata; "practise makes perfect". Bila banyak kali menulis, kita boleh elakkan dari menulis sesuatu yang tidak seronok dibaca oleh pengunjung. Kita juga boleh pilih cerita apa bagus untuk dikongsikan atau tidak. Teringat saya pesanan Kak Masayu Ahmad yang terkesan di hati. Antaranya;




TERIMA KASIH
Jutaan terima kasih kepada Team ABDR terutama sekali Kak Masayu Ahmad yang sangat cool mengendalikan Kelas Asas Penulisan dengan hanya secara online. Semoga usaha murni akak dalam membantu ramai wanita yang mahu bekerja dari rumah dipermudahkan. Doakan saya dapat menulis ebook "bestseller" seperti ebook-ebook yang akak tulis. Halalkan ilmu akak kepada saya dan saya mohon maaf segala kekurangan. 

Alhamdulillah.. Bersyukur ke hadrat ilahi..

Amin..
http://hazwaniabdhamid.blogspot.com/2014/11/selesai-44-entri.html

Thursday, October 16, 2014

Pengalaman Kelas Asas Blog Penulisan

Teks: Hifzaila Hafni


Saya mula mendaftar kelas asas blog penulisan seingat saya Februari 2014. Apa yang mendorong saya mendaftar kelas ini?

Saya mahu menulis secara serius, menulis blog bagi menjana pendapatan sampingan. Bagaimana blogger dapat menjana pendapatan...? Saya tak tahu. Sebab tu saya masuk kelas ni dan belajar sebanyak mana yang boleh. Lagipun, bukan saya tak pernah menulis blog, cuma blog yang ada sekadar di pinggiran saja (untuk suka-suka).
Dah hampir 9 bulan sejak saya mendaftar kelas ini, dan alhamdulillah telah siap semua tugasan. Disebabkan tema hari ini adalah throwback, marilah mengenang kisah silam sekejap ye.

Saya mulanya berniat untuk kembangkan bakat menulis. Saya bukanlah pandai menulis cuma saya suka menulis. Tapi sejak dah beranak kecil ni, saya dah jarang menulis. Maka hilang satu cara saya 'escape' daripada kehidupan saya sehari-hari. Saya juga tak pandai nak membebel (ye ke?) dan salah satu cara saya membebel melalui penulisan. Tapi saya tulis untuk simpanan sendiri dan kongsi dengan kawan-kawan rapat je. Tak ada niat nak jana pendapatan atau berbisnes pun melalui blog. Semata-mata menulis. Cita-cita biasalah nak tulis buku lah, artikel majalah lah...tapi tak tahulah jika masa depan Allah makbulkan cita-cita sekian lama tu.

Bila dalam kelas asas blog ni, kelas online saja. Hanya ikut tugasan yang dah ditetapkan langkah demi langkah. Ikut masa sendiri, masa adalah fleksibel dan jika cepat anda siapkan tugasan, cepatlah habis kelas. Jangan rasa terbeban sangat dengan tugasan-tugasan ni, bukannya cikgu online nak marah pun sebab tak ada had masa nak kena siapkan. Cuma, sayang kalau tak siapkan sebab kita dah bayar. Rugi.

Saya ambil pakej RM200. Saya memang dah niat nak mula kelas ni bila saya dapat bayaran kerja-kerja freelancing saya. Alhamdulillah dengan pelaburan yang dibuat. Saya dapat lebih daripada apa yang saya bayar. Saya bukan setakat belajar menulis blog (bagi yang memang pro, tak mengapalah, tapi saya tidak), saya belajar berbisnes kecil-kecilan dan dropship sebab pakej RM200 ni automatiknya saya jadi Rakan Niaga juga. Iaitu belajar menulis blog dan berbisnes dengan mempromosi produk-produk Akademi Bekerja Di Rumah. Mula-mula memang tak tahu macamana nak buat bisnes ni, tapi bila dah lama-lama, akan terbiasa dan mula faham. Hinggalah saya bina kedai online saya sendiri - Hif Online Store; yang kini produk utamanya adalah pek nasi arab segera jenama Al-Bayt; di samping produk-produk makanan yang lain.

Bermula dengan hanya niat tulis blog dengan serius, melarat ke bisnes dan menambah jaringan kenalan. Juga mengenali orang-orang yang hebat dan usahawan-usahawan yang berjaya. Bergaullah dengan orang yang berjaya supaya kita juga suatu hari nanti akan berjaya seperti mereka. Insya Allah.

Guru online : Zaila Mohamad

Tuesday, October 14, 2014

ABDR di Media

Pengasas, Puan Masayu Ahmad di majalah Era Muslimah
Teks : Monalita Mansor
Gambar : Album ABDR

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Azura Abdullah di majalah MIDI

Penglibatan pasukan Akademi Bekerja di Rumah dengan media merupakan kerjasama menang-menang yang seharusnya berentetan sampai bila-bila. Tambahan pula ia diharapkan memberi impak positif buat pelajar, alumni dan guru-guru untuk terus bergerak ke hadapan dengan promosi daripada pihak media yang tidak pernah jemu memberikan ruang dan peluang kepada ABDR. Biar gambar sahaja yang bercerita ya.
Puan Masayu Ahmad, kolumnis di majalah Mingguan Wanita


Cerpen Cik Sitam Blogger, Karya Intan Haji Daud, alumni ABDR

Ini adalah sebahagian daripada catatan permulaan, semoga ia membakar semangat suri-suri untuk terus melakar kejayaan bersama ABDR dalam bidang masing-masing.