Teks: Hazwani Abd Hamid
Bismillah.. Assalammualaikum..
Sedar tidak sedar perjalanan kelas saya sudah sampai ke penghujungnya. 44 latihan penulisan yang saya mulakan Mac lepas kini sampai ke garisan penamat. Almaklumlah, saya orang akaun, jika diberi permasalahan matematik cepat saya menghabiskannya tetapi bab penulisan ini, dari sekolah rendah saya dah angkat bendera putih. Penulisan adalah perkara baru buat saya, disebabkan tekad saya berusaha untuk "graduate".
MATLAMAT AWAL
Sebenarnya dari dahulu saya bercita-cita menjadi seorang pendidik. Tahun demi tahun, walaupun saya tidak ke arah itu tetapi jiwa mendidik tetap ada. Bagi saya, menjadi pendidik bukan semata-mata menjadi seorang guru tetapi ianya lebih dari itu. Apa yang penting, ilmu didada. Dengan ilmu yang ada, kita boleh berkongsi dengan ramai orang. Bila kita berkongsi ilmu, ilmu itu makin bertambah tidak akan berkurang walau sedikitpun. Ajaib bukan?
Ulangtahun graduasi saya yang ke-sepuluh tahun ini, menyaksikan beberapa perubahan dalam kehidupan saya. Bisnes saya semakin stabil dan bermula tahun lepas saya ada mendapat permintaan untuk mengajar akaun. Saya sambut permintaan itu dengan besar hati kerana itu bermakna, saya telah mencapai cita-cita saya iaitu menjadi seorang pendidik. Malah pelajar-pelajar yang rata-ratanya usahawan ada menggelarkan saya cikgu dan tidak kurang juga yang memberi ucapan ketika Hari Guru tempoh hari. Berbunga rasa di hati hanya Allah sahaja yang tahu.
Bertitik tolak dari peristiwa itu, saya sering mendengar rintihan mereka yang mahu belajar akaun tetapi mempunyai masalah untuk hadir ke kelas. Pada mulanya saya bersikap dingin kerana bagi saya untuk mencari ilmu, seseorang itu perlu mencari "guru" bukannya guru yang mencari anak murid. Sejenak berfikir, saya fahami mereka, kasihan pada mereka. Jika saya tidak membuka ruang kepada mereka, siapa lagi yang patut mereka tuju.
Dari situlah saya berhasrat untuk menulis ebook, supaya saya boleh tukarkan situasi di kelas ke dalam ebook dan supaya mereka boleh mendapat manfaat seperti mereka yang hadir ke kelas saya. Alhamdulillah, saya bertemu dengan kak Masayu Ahmad dari Team Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) dan memperkenalkan saya dengan Kelas Asas Penulisan ini. Benar, saya memang perlu melatih penulisan saya supaya ianya benar-benar sampai kepada pembaca.
SESI PEMBELAJARAN
Skil penulisan yang lemah membuatkan saya terkulat-kulat pada awalnya. Setiap kali mahu memulakan penulisan, lama saya merenung laptop tetapi tiada idea yang keluar. Saya kembali kepada nota kak Masayu Ahmad, baca perlahan-lahan dan saya tarik nafas dalam-dalam. Saya mencari mood penulisan dengan cuba untuk melihat dunia sekeliling. Lama saya ambil masa untuk bersedia kembali untuk menulis dengan lancar. Cemburu dengan penulisan Rakan ABDR yang lain tidak boleh disangkal lagi. Penulisan mereka lancar seperti keluar sebutir-butir dari mulut mereka sendiri. Kagum saya..
Saya rasa mungkin saya adalah dikalangan pelajar ABDR yang paling lewat "graduate". Mengapa saya katakan demikian? Sebab saya mulakan kelas pada Mac 2014 dan November 2014 baru saya dapat menyiapkan tugasan 44 entri. Maknanya sebulan saya hanya boleh siapkan 5 ke 6 entri sebulan. Tragis kan? Pengalaman yang amat bernilai.
MANFAAT KELAS
Saya mula menjadikan penulisan ini sebagai rutin. Apa sahaja yang saya terfikir tika itu, terus saja saya buka ipad untuk menulis. Ilham itu hadiah dari Allah, dengan niat untuk saya sedarkan masyarakat bisnes untuk jaga bisnes mereka baik-baik. Mungkin kerana niat itu, saya mudah untuk memberi penulisan yang panjang lebar. Apabila menulis, saya tak sedar pun penulisan saya telah sampai ke penghujung kerana kini saya sudah mula rasa seronok menulis! ^_^
Apabila banyak perkara yang saya tulis berkenaan akaun, ianya mudah bagi saya untuk kongsi bersama rakan-rakan Facebook yang lain. Sekurang-kurangnya mereka tidak bosan kerana saya tidak menulis berjela-jela di Facebook. Jika mereka mahukan maklumat, mereka akan terus ke blog saya. Insya-Allah.
Kelas Asas Penulisan ini melatih diri untuk menulis dengan lebih baik. Orang kata; "practise makes perfect". Bila banyak kali menulis, kita boleh elakkan dari menulis sesuatu yang tidak seronok dibaca oleh pengunjung. Kita juga boleh pilih cerita apa bagus untuk dikongsikan atau tidak. Teringat saya pesanan Kak Masayu Ahmad yang terkesan di hati. Antaranya;
TERIMA KASIH
Jutaan terima kasih kepada Team ABDR terutama sekali Kak Masayu Ahmad yang sangat cool mengendalikan Kelas Asas Penulisan dengan hanya secara online. Semoga usaha murni akak dalam membantu ramai wanita yang mahu bekerja dari rumah dipermudahkan. Doakan saya dapat menulis ebook "bestseller" seperti ebook-ebook yang akak tulis. Halalkan ilmu akak kepada saya dan saya mohon maaf segala kekurangan.
Alhamdulillah.. Bersyukur ke hadrat ilahi..
Amin..
http://hazwaniabdhamid.blogspot.com/2014/11/selesai-44-entri.html
No comments:
Post a Comment